Cerpen Bawod

 Sinopsis Cerpen Bawod:

Cerpen Bawod ini mengisahkan tentang hubungan yang akrab antara Beluntung dengan dua ekor haiwan peliharaannya iaitu Tuyog yang merupakan seekor kerbau dan Bawod yang merupakan seekor kambing. Cerita bermula apabila pada suatu hari hujan lebat telah turun di Kampung Beluntung menyebabkan air Sungai Layong telah melepasi paras tebing dan menenggelamkan rumput rampai di halaman rumah Beluntung. Dalam keadaan hujan lebat dan angin yang kencang, Beluntung turun dari rumah untuk mencari dan menyelamatkan haiwan-haiwan peliharaannya itu daripada mati kemas walaupun tindakannya itu dilarang oleh ibunya. Namun, dia berasa kecewa apabila pancariannya itu tidak berhasil. 

Keesokan harinya, pada awal-awal pagi, Beluntung telah turun ke tanah mencari haiwan-haiwan peliharaannya berbekalkan lampu suluh. Namun, Beluntung berasa sedih kerana dia masih gagal menemukan haiwannya itu dan menyangkakan haiwannya itu telah mati lemas. Setelah dia selesai membasuh kakinya di sungai, dia akhirnya menemukan haiwan-haiwan peliharaannya itu berdekatan dengan pokok nangka yang rimbun. Beluntung berusaha memanaskan badan kambingnya, Bawod yang kesejukan dengan menyalakan unggun api dan memberikan kambingnya itu makan pucuk ubi kayu. Akhirnya, kambingnya dapat diselamatkan daripada mati kesejukan.

Beluntung menggunakan khidmat kerbaunya, Tuyog yang ditungganginya setiap hari untuk ke sekolah. Dia terpaksa menggunakan khidmat kerbaunya untuk meredah air sungai yang agak dalam. Sesampainya di sekolah, Beluntung akan menambat kerbaunya, Tuyog pada pohon kelapa di halaman sekolahnya. Beluntung gigih ke sekolah memandangkan dia akan menghadapi peperiksaan darjah enam yang tinggal dua bulan sahaja lagi. Beluntung tekun belajar tatkala Cikgu Rambayut mengajarkan mata pelajaran Ilmu Alam di kelasnya. Sewaktu rehat, Beluntung akan pergi mendapatkan kerbaunya, Tuyog yang tertambat pada pohon kelapa. Beluntung sering menjadi bahan ejekan kawan-kawannya seperti Basil kerana tindakannya membawa kerbau yang ditungganginya, Tuyog ke sekolah. Beluntung tidak mengendahkan usikan dan ejekan kawan-kawannya kerana sememangnya dia amat memerlukan khidmatkerbaunya untuk membawanya ke sekolah disebabkan jalan berlumpur dan beberapa batang sungai perlu diharungi. Seperti biasa, suatu pagi dalam keadaan masih hujan renyai-renyai, Beluntung tekad ke sekolah dengan menunggang kerbaunya, Tuyog dengan memakai baju hujan. Tetapi, pada kali ini, kambingnya, Bawod turut mengekorinya hingga ke sekolah walaupun terpaksa meredah hujan yang lebat dan mengharungi air sungai. Kegigihan Bawod menyuntik suatu semangat kepada Beluntung untuk belajar bersungguh-sungguh demi peperiksaan darjah enam yang kian hampir. Pada waktu rehat, Beluntung menuju ke tempat Bawod dan Tuyog ditambat namun dia melihat kambingnya telah tiada. Rupa-rupanya, kambingnya telah masuk ke dalam bilik darjahnya sehingga menyebabkan dia diusik lagi oleh kawan-kawan sekelasnya. Beluntung menambat kambingnya, Bawod pada sebatang pohon.

Ketika di dalam kelas, Beluntung mendengar suara kerbaunya menguak dan disususli dengan suara kambingnya. Dia menyangkakan kerbaunya diganggu oleh anjing, tetapi sangkaannya meleset apabila dia mendapati leher kerbaunya telah terjerut tali. SETELAH membuka ikatan tali yang melilit leher Tuyog, Beluntung kembali ke kelasnya. Beluntung berasa kesabarannya tercabar apabila Basil telah membuang buku-bukunya ke lantai. Berlaku pertengkaran kecil antara mereka. Cikgu Rambuyat meminta Basil menuntut buku Beluntung semua dan memohon maaf. Beluntung tidak mahu berkelahi dengan Basil kerana dia bertekad untuk fokus dalam pelajaran ya dan menjadi seorang pelajar terbaik do SRK Timbang Pasir.

Pada suatu pagi, Beluntung telah menyertai Pesta Lumba Kerbau peringkat Kampung Layong. Dia menunggangi Tuyog ketika menyertai perlumbaan itu. Dia berjaya memenangi perlumbaan itu dengan memperoleh hadiah sebanyak RM10.00. Dia memutuskan untuk membeli seekor kambing lain dengan menggunakan wang kemenangannya itu supaya kambingnya, Bawod mempunyai kawan. Sebelum dia pergi ke Pesta Lumba Kerbau, bapanya berpesan kepadanya agar menambat Bawod pada pohon nangka. Pagi itu, bapa dan ibunya tidak turut pergi ke pesta itu hingga mengundang pertanyaan di hati Beluntung.

Beluntung mengenang kembali peristiwa yang berlaku pada seminggu yang lalu. Bapanya berasa amat girang apabila Beluntung berjaya lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan darjah enam. Lebih membanggakan bapanya, hanya dua orang anak Kampung Layong yang mempunyai sijil darjah enam tetapi mereka sekadar lulus sahaja berbanding dengan Beluntung yang lulus dengan cemerlang. Beluntung turut teringat akan kata-kata bapanya perihal dirinya boleh menjadi seorang guru apabila besar kelak.

Beluntung berasa hairan apabila melihat banyak orang kampung berada di rumahnya dan di sungai berhampiran dengan rumahnya selepas dia pulang dari Pesta Lumba Kerbau. Beluntung mencari ibunya di dapur dan mendapati ibunya sedang memasak sambil tertawa riang bersama jiran. Selepas memeluk ibunya, dia mencari bapanya dan mendapati bapanya duduk tenang sahaja sambil sesekali tergelak mendengar perbualan rakan-rakannya di halaman rumah. Beluntung tersenyum apabila bapanya memaklumkan kehadiran ramai orang kampung ke rumah mereka kerana bapanya akan mengadakan kenduri kesyukuran. Namun begitu, Beluntung terkejut hingga menyebabkan dia tersungkur dan pengsan buat seketika akibat tersadung tunggul kayu sewaktu berlari mendapatkan kambingnya. Bawod sudah disembelih untuk dijadikan lauk kenduri bagi meraikan kejayaan cemerlangnya dalam peperiksaan darjah enam. Beluntung menangis apabila kambing peliharaan yang dianggap sebagai sahabat baiknya itu telah mati disembelih. Orang kampung memujuk Beluntung. Begitu juga dengan bapanya yang memeluk Beluntung dan berasa kesal atas tindakannya yang tidak berbincang lebih dahulu dengan anaknya itu.


Tema 🐂 Persahabatan yang utuh antara manusia dengan haiwan peliharaannya.


Persoalan:

(a) Kegigihan seorang murid dalam mengejar impian

(b) Kedaifan hidup di luar bandar bukan suatu penghalang untuk bersaing dalam dunia pendidikan

(c) Pengorbanan dan kesetiaan antara dua ekor haiwan

(d) Kekuatan kasih sayang pengikat kebahagiaan sesebuah keluarga

(e) Kesetiaan haiwan peliharaan terhadap tuannya


Watak dan perwatakan:

(a)Beluntung -anak tunggal dalam keluarga

 -berumur 12tahun dan bersekolah di Sekolah Rendah Kerajaan Timbang Pasir

-mempunyai dua ekor haiwan peliharaan iaitu Tuyog dan Bawod 

-seorang yang penyayang dan prihatin

-seorang yang gigih dalam menuntut ilmu


(b) Bawod -seekor kambing peliharaan

-bersifat seperti manusia

-sangat setia akan pada tuannya, Beluntung

-seekor kambing yang takut akan air

-seekor kambing yang bersifat gigih


(c) Tuyog -seekor kerbau peliharaan Beluntung

-bersifat seperti manusia

-sangat setia akan pada tuannya

-seekor kerbau yang suka berendam dalam air sungai

-seekor kerbau yang gagah dan pantas berlari


Gaya Bahasa:

(a) Personifikasi. Contohnya, Cahaya itu merayapi kawasan sekitar.

(b) Simile. Contohnya, Dia memandang kecewa ke halaman rumah yang sudah kelihatan seperti tasik kecil. 

(c) Sinkope. Contohnya, Hisyy...asyik tanya saja

(d) Inversi. Contohnya, Di hadapannya, Tuyog tertambat pada pohon nangka.

(e) Repetisi. Contohnya, Bawod takut akan air, takut akan hujan.

(f) Peribahasa. Contohnya, Bapa tentu senang hati.


Latar Masa:

(a) waktu awal pagi

(b) waktu rehat

(c) dalam tempoh dua bulan


Latar Masyarakat:

(a) Masyarakat yang patuh dan taat akan suruhan kedua-dua orang tuannya.

(b) Masyarakat yang penyayang.

(c) Masyarakat pendidik yang amanah dan bertanggungjawab dalam memikul tugas.


Nilai: 

(a) kesetiaan

(b) keberanian

(c) kasih sayang

(d) baik hati

(e) tanggungjawab


Pengajaran:

(a) Kita mestilah bersifat penyayang terhadap sesama insan.

(b) Kita hendaklah sentiasa bersyukur atas kejayaan yang kita perolehi.

(c) Kita hendaklah amanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diberikan.

(d) Kita perlulah rajin dan gigih dalam menuntut ilmu demi masa depan yang cerah.

(e) Kita mestilah patuh dan taat akan suruhan kedua orang tua.










Comments